Search This Blog

Friday, June 29, 2012

Konflik Spratly boleh meletus

BEIJING: Konflik tentera boleh meletus di Kepulauan Spratly jika ada negara yang menuntut kawasan tertentu di situ menggunakan kekerasan atau mengambil langkah mencabul kedaulatan negara lain yang turut ada tuntutan. 

Oleh sebab itu, China tidak dapat beri jaminan bahawa konflik ketenteraan tidak akan meletus di situ, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan pencerobohan ke atas kawasan tuntutan Beijing.
Timbalan Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Asia Tenggara dan Asia Selatan, Rao Huihua, memberi amaran itu dalam sidang media kepada 18 wartawan Asia yang mengunjungi pejabatnya, di sini semalam.
"Kami tidak akan serang pihak lain tetapi akan bertindak jika (kedaulatan) kami diserang. Kami mementingkan penyelesaian secara aman dan sedia berdialog. 

"Pada masa sama, semua itu juga bergantung kepada tindakan negara lain (yang turut menuntut Spratly)," katanya. 

Negara lain yang menuntut Spratly termasuk Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan. 

Rao ditanya mengenai tindakan Vietnam beberapa hari lalu yang meluluskan undang-undang mengisytiharkan Kepulauan Paracel dan Spratly sebagai miliknya. 
Vietnam mengambil langkah itu dua minggu sebelum mesyuarat Menteri Luar Asean di Phnom Penh, Kemboja yang bakal dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton. 

Rao memberitahu wartawan Asia yang mengikuti program 'Media dari Negara Jiran China' bahawa Beijing memandang serius kedaulatannya di Spratly.

No comments:

Post a Comment