Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Kenderaan dipandu laju

Kenderaan dipandu laju
Jenazah Abdul Wahab dihantar ke kampung halamannya di Kuala Lumpur.
MACHANG - Timbalan Ketua Polis,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala  Krai dan anggota berpangkat sarjan maut dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, semalam.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1 pagi di Kampung Labok itu turut mengorbankan seorang warga emas, Membunga Mamat, 60.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, Deputi Superintenden Abdul Wahab Yaacob, 56 dan Sarjan Abd Kadir Kumin, 48 dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu sebelum kejadian.

Katanya, kenderaan jenis BMW yang dipandu Abd Kadir bertembung dengan sebuah Pajero yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu Pajero terbabit yang juga anak kepada Membunga, Mohd Saari Asmawi, 36 cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Punca kejadian masih disiasat dan kedua-dua kenderaan dipercayai dipandu laju. Jenazah Abdul Wahab akan dihantar ke Kuala Lumpur manakala Abd Kadir akan dihantar ke kampung halamannya di Ulu Chenka, Jerantut, Pahang.

“Segala urusan jenazah akan diuruskan dengan cara yang terbaik,” katanya.

Beliau turut hadir ke tempat kejadian dan ke Hospital Machang bagi meninjau kejadian tersebut.

Jenazah dimandikan dan dikapankan di Hospital Machang sebelum di hantar ke kampung halaman masing-masing.

Abdul Wahab difahamkan baru memulakan tugasnya di IPD Kuala Krai sebulan lalu.

Sementara itu, adik Membunga, Napisah, 58 berkata, kakaknya bersama anak, mertua dan dua orang cucu dalam perjalanan pulang ke Gua Musang selepas menghantarnya ke Bachok.

“Mereka sekeluarga menghantar saya pulang ke Kampung Kubang kawah, Bachok selepas saya ke Gua Musang bagi meraikan perkahwinan anak arwah.

Saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 3 pagi selepas menerima panggilan daripada Balai Polis Machang,” katanya.

Manakala anak Abd Kadir, Farid Ikhwan, 21 berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 2.30 pagi.

“Kali terakhir saya berjumpa ayah dua minggu lalu,” katanya yang tinggal di Kubang Kerian.

Orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang atau menghubungi Pegawai Penyiasat,
Inspektor Zolkifli Said di talian 09-9751223.

No comments:

Post a Comment