Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Kecewa diberi notis 24 jam

Kecewa diberi notis 24 jam
Surat daripada syarilkat tersebut
SENAI – Tawaran gaji lumayan dengan pelbagai insentif termasuk bonus dalam tempoh tiga bulan berkhidmat membuatkan lebih 10 pekerja kilang elektronik bersetuju untuk bekerja di sebuah syarikat multinasional di sini.
Lebih meyakinkan mereka untuk berhijrah ke syarikat baru itu, apabila majikan sanggup membayar pampasan kepada syarikat yang mereka berkhidmat sebelum ini, dengan alasan membolehkan mereka memulakan tugas dengan kadar segera di kilang baru disifatkan sekadar sandiwara.
Namun setelah bekerja di syarikat berkenaan, mereka dikejutkan dengan surat pemberhentian 24 jam, 22 Jun lalu.
Bagi Zulkifli Mohamed, 41, yang berkhidmat sebagai Juruteknik Kanan sejak 37 hari lalu berasa teraniaya dan kecewa apabila diberhentikan seca ra mendadak.
“Pada pagi berkenaan, kami masuk kerja seperti biasa jam 7.30 pagi, sebelum dipanggil seorang demi seorang dan dimaklumkan pihak pengurusan memberhentikan kami dengan notis 24jam dengan memberi pampasan sebulan gaji.
“Berita itu amat mengejutkan dan tidak mungkin dapat diterima kerana memikirkan tanggungan dan komitmen lain.
Saya amat kesal dengan pengurusan syarikat. “Dengan usia saya dan kekangan untuk mencari pekerjaan, bagaimana untuk saya menyara keluarga?” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Kata Zulkifli, tindakan syarikat berkenaan adalah sesuatu yang tidak wajar.
Manakala bagi Mohd Shahidan Hassan, 25, berkata, kerana ghairah dengan tawaran syarikat terbabit, dia sanggup melepaskan jawatan selaku juruteknik dua minggu lebih awal dari majikan lama.
“Saya menerima untuk bekerja di syarikat baru ini hasil rekomen oleh bekas majikan lama yang turut berkhidmat di situ.
Saya turut menandatangani kontrak setahun dengan syarikat baru dengan pulangan bonus sebulan selepas tiga bulan disahkan jawatan.
“Saya tidak sangka diberhentikan kerja. Nama saya dan reputasi saya di syarikat lama juga terjejas.
Tidak mungkin saya akan diterima kembali ke syarikat lama,” katanya.
Sementara itu buat jurutera muda, Muhammad Zulhusaini Noor Azmi, 26, yang sanggup berhijrah dari Pulau Pinang ke Johor untuk menimba pengalaman dirasakan tidak dihargai.
“Ia satu tindakan drastik. Dengan keadaan ekonomi dan menjelang Ramadan dan Hari Raya, berita ini amat mengecewakan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Industri Elektronik (Wilayah Selatan), Mohd Salleh Ahmad berkata, pihaknya akan mendapatkan keadilan buat pekerja yang diberhentikan ini dengan menggunakan saluran ke Jabatan Perhubungan Perusahaan dengan memfailkan kes di bawah Seksyen 20 Akta Sekerja.
“Kita akan menggunakan saluran menerusi JPP, sebelum mengambil tindakan yang lebih tegas kerana tindakan memberhentikan pekerja ini secara mengejut dengan pemberian pampasan sebulan, tidak boleh diterima.
“Mereka layak diberi pengadilan dan menerusi JPP ini, wakil pekerja, syarikat dan kesatuan akan berunding untuk memikirkan keputusan yang wajar buat majikan dan pekerja,” katanya.
Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Johor, M Asojan berkata, pekerja yang diberhentikan itu perlu melaporkan segera kepada Jabatan Tenaga Kerja.
“Kita akan menyiasat perkara ini, kebiasaannya kes sebegini majikan perlu membayar pampasan mengikut Akta Pekerja 1955.
“Kalau pekerja tidak berpuas hati boleh minta nasihat Jabatan Perhubungan Perusahaan kerana ini melibatkan isu pembuangan pekerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada syarikat berkenaan gagal.

No comments:

Post a Comment