Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Kastam tumpaskan 48 cubaan seludup rokok, arak bernilai RM27.4j



RAMLI Johari (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor, Johor Bahru, Johor, semalam. - BERNAMA
JOHOR BAHRU 29 Jun - Kastam negeri mematahkan 48 cubaan penyeludupan pelbagai jenis barangan termasuk rokok dan minuman beralkohol melibatkan nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM27.4 juta.
Pengarahnya, Datuk Ramli Johari berkata, seramai tujuh orang telah didakwa di mahkamah dengan empat daripadanya didapati bersalah serta sudah menjalani hukuman masing-masing.
Katanya, kesemua individu itu melibatkan 26 kes yang ditahan penguat kuasa di Bangunan Sultan Iskandar.
"Kes terbaru yang berlaku di bangunan berkenaan adalah semalam, melibatkan rampasan 1.8 juta batang rokok jenama Modeng yang ditaksirkan bernilai RM90,000 dan cukai terlibat sebanyak RM892,800.
"Kejadian berlaku pukul 12.50 tengah hari apabila sepasukan anggota penguat kuasa Ops Pagar Selatan menahan sebuah van berkunci jenis Hino dan dua lelaki di laluan Dagangan Import," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata Ramli lagi, siasatan awal yang dijalankan mendapati dagangan yang dibawa lori berkenaan diikrarkan sebagai alat ganti mesin.
Tambahnya, dua lelaki iaitu pemandu dan kelindan lori yang berusia 22 dan 42 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu kerana terlibat mengangkut barang larangan dengan niat mengelak apa-apa larangan bagi barang-barang itu.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda minimum 10 kali ganda nilai atau maksimum 20 kali nilai atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Beliau turut menyeru agar orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihaknya berkaitan penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 07-2181666/2225666 (Johor Bahru); 06-9538655 (Muar); 07-4355553/4355554 (Batu Pahat) dan Gelang Patah 07-5233067.
Ujarnya, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan mereka akan mendapat ganjaran wang tunai jika maklumat itu membawa kepada penangkapan penyeludup.

No comments:

Post a Comment