Search This Blog

Saturday, June 2, 2012

Kaki putus tercampak 50 meter

Kaki putus tercampak 50 meter - Terengganu - Sinar Harian:

Kaki putus tercampak 50 meter
Keadaan motosikal Yamaha RXZ ditunggangi Amir Faiz yang rosak teruk selepas terbabas dan melanggar pagar besi pembahagi jalan di kawasan Rantau Petronas Kerteh, malam kelmarin.
KERTEH – Seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila kakinya yang putus terpelanting sejauh kira-kira 50 meter sejurus motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum melanggar pagar besi pembahagi jalan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam di Kilometer 116 Jalan Kuala Terengganu- Kuantan, dekat kawasan Rantau Petronas Kerteh itu, Amir Faiz Mohd Azman, 19, yang beralamat di Kampung Nibong Stesen, Dungun dalam perjalanan dari Dungun menghala ke Kerteh maut serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah.

Orang awam, Ruzailan Khamis, 31, dari Kemasik berkata, dia yang berhenti di tempat kejadian terkejut apabila diberitahu oleh seorang polis bantuan di kawasan Perumahan Petronas Rantau Laut bahawa terdapat kaki manusia dari paras betis ke bawah di tepi pos pengawal tempat dia berkawal iaitu sejauh kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa terbaring.

“Waktu itu saya lihat mangsa terbaring di tepi pengadang jalan dan mendapati kaki kanannya putus dari paras betis.

“Saya yang menjadi individu terawal tiba di tempat kejadian kemudiannya memungut kaki itu dan letakkannya di sebelah mayat mangsa,” katanya.

Difahamkan sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berkonvoi bersama beberapa lagi rakan lain dalam perjalanan ke sebuah kedai makan di Kerteh.

Dipercayai kaki kanan mangsa terputus selepas terkena pagar besi pembahagi jalan apabila motosikal ditungganginya itu terbabas lalu merempuh pagar besi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, akibat rempuhan kuat, Amir Faiz turut mengalami kecederaan lain iaitu pecah kepala bahagian belakang setelah topi keledar yang dipakainya hancur selain patah kedua-dua belah tangan.

Mayat Amir Faiz kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman sebelum dituntut kedua ibu bapanya kira-kira jam 3 pagi semalam.

Akibat nahas itu, motosikal milik rakan yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk dengan beberapa komponen bertaburan di atas jalan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment