Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Kahwin lari penjenayah syariah

myMetro | Kahwin lari penjenayah syariah:

KUALA LUMPUR: “Pasangan yang bernikah di negara jiran sebenarnya penjenayah syariah kerana berkahwin lari tanpa mengikut undang-undang syariah negara ini,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.
Beliau berkata, individu yang bernikah di sempadan sama ada berkahwin lari atau berpoligami melakukan kesalahan matrimonial iaitu kesalahan membabitkan perkahwinan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang boleh diambil tindakan penalti, denda atau penjara.

“Justeru, sesiapa saja tidak kira pasangan yang mahu bernikah di sempadan...kalau dari sudut undang-undang syariah adalah penjenayah syariah. Kesalahan bagi wanita kerana bernikah tanpa kebenaran dan bagi lelaki pula berpoligami tanpa kebenaran.
“Jika sabit kesalahan, pasangan berkenaan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali dan semua hukuman berkenaan bergantung kepada keputusan mahkamah,” katanya.

Menurutnya, dari segi perundangan negara ini, pernikahan di sempadan masih belum diiktiraf walaupun mempunyai surat daripada Konsul Malaysia di negara berkenaan menyebabkan setiap pasangan bernikah perlu mengesahkannya di Mahkamah Syariah negara ini.

“Mereka perlu mengesahkan pernikahan terlebih dulu di Mahkamah Syariah. Ini penting untuk mengetahui sama ada pernikahan dilakukan di negara berkenaan sah atau tidak terutama dari aspek rukun nikah.
“Jika pernikahan itu sah, baru mahkamah mengarahkan mendaftarkan pernikahan itu, namun sebelum itu, pasangan berkenaan perlu berdepan prosiding mengikut Enakmen Jenayah Syariah berdasarkan negeri masing-masing,” katanya.

Katanya, pernikahan di sempadan lebih banyak mendatangkan masalah kepada pasangan termasuk kemungkinan pernikahan tidak sah disebabkan tidak memenuhi hukum syarak atau jarak dengan wali kurang 90 kilometer.

No comments:

Post a Comment