Search This Blog

Friday, June 29, 2012

Jurulatih pertama kena penjara rasuah bola sepak

Yusarman Yusof
Yusarman Yusof



SEREMBAN: Bekas pengendali skuad bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof, menjadi jurulatih pertama di negara ini dipenjara selepas didapati bersalah mengatur perlawanan, tahun lalu. 

Dia dihukum penjara 15 bulan dan denda RM200,000 selepas disabitkan kesalahan terhadap 20 daripada 21 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hakim Datin Nursinah Adzmi mengarahkan tertuduh dihukum penjara 15 bulan dan denda RM10,000 bagi setiap 20 pertuduhan dengan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi. 

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan Yusarman, 36, tidak bersalah bagi pertuduhan ke-10 kerana wang yang diberinya kepada seorang pemain dianggap sebagai pinjaman.

Nursinah berkata, hukuman dijatuhkan selepas mahkamah menimbangkan rayuan peguam bela dan mengambil kira jasa tertuduh dalam sukan bola sepak negara.

Tertuduh berjasa kepada negara kerana pembabitannya dalam sukan bola sepak, selain ia kesalahan pertama. Bagaimanapun, kesalahannya jelas dan mahkamah perlu mematuhi undang-undang, katanya. 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P Sevan meminta mahkamah mengenakan hukuman berat, sekurang-kurang dua tahun penjara dan denda. Bagaimanapun, Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan denda kerana anak guamnya mempunyai anak dan tiada pekerjaan tetap.

Hakim membenarkan hukuman ditangguhkan hingga rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi dan mengekalkan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Yusarman ketika dihubungi berkata, beliau akan merayu di Mahkamah Tinggi.

Yusarman yang digantung seumur hidup daripada terbabit dalam bidang bola sepak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Februari lalu, mengaku hanya mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan bola sepak. Beliau kini mencari rezeki dengan menoreh getah di kampung.

No comments:

Post a Comment