Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Jual DVD haram: Penjual buah didenda RM5,000

KUANTAN - Seorang penjual buah didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas kesalahan menjual cakera padat digital (DVD) secara haram.

Majistret Nurunaim Abdullah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan tertuduh jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh, Yow Teck Hock, 43, yang berasal dari Muar, Johor itu telah mempamerkan 75 keping DVD pelbagai tajuk yang tidak mempunyai sijil perakuan B dikeluarkan Lembaga Penapisan
Filem (LPF) untuk dijual.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Wong Ah Jang, di sini, kira-kira jam 11.20 malam pada 28 September 2009.

Sebelum itu, bapa kepada tiga anak itu merayu supaya dikenakan denda minimum dengan alasan dia sudah insaf dan hanya berpendapatan purata RM1,500 sebulan, selain menyatakan ia kesalahan kali pertamanya.

Tertuduh yang diwakili peguam, Noor Adilah Zarian juga memberikan alasan dia hanya seorang pekerja biasa.

Dia disabitkan di bawah Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem dan boleh dihukum di bawah Seksyen18 (5) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM30,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Ungku Zabedah Ungku Ismail

No comments:

Post a Comment