Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

JHEAINS tahan 41 kaki judi siber

JELEBU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan 41 pengunjung termasuk seorang wanita dan 16 penjawat awam di dua premis pusat perjudian siber di Simpang Pertang di sini, hari ini.
   
Ketua Operasi JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata dalam operasi lima jam yang bermula pukul 12 tengah malam tadi, kebanyakan pengunjung yang leka berjudi di premis itu tergamam dan tidak sempat melarikan diri sebaik sahaja diserbu pihak berkuasa.
   
"Kita turut merampas wang tunai hasil pertaruhan dan menyita peralatan komputer yang digunakan bagi tujuan perjudian itu," katanya ketika dihubungi.
   
Katanya operasi itu disertai 30 anggota termasuk dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan serbuan itu adalah hasil maklumat orang ramai.
   
"Ini adalah kali kedua pusat perjudian itu diserbu oleh pihak JHEAINS dan mereka tidak serik. Pada kali ini tempat permainan judi siber ini telah diubah suai menjadikannya kelihatan lebih menarik dan premis ini juga menyediakan kamera litar tertutup bagi memantau segala pergerakan pelanggan mereka dan pihak berkuasa," katanya.
 
Ahmad Zaki berkata kesemua kaki judi yang ditahan berumur lingkungan 17 tahun hingga 58 tahun dan mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu untuk diambil keterangan.
   
Katanya pengusaha pusat judi berkenaan pula diberi surat perintah saman hadir ke Pejabat Agama daerah Jelebu untuk memberi keterangan.
   
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 79A Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004 yang mana jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. - Bernama

No comments:

Post a Comment