Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

‘Hanya berurut’

myMetro | ‘Hanya berurut’:


MUAR: Seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan berusia 40 tahun ditahan kerana dipercayai berkhalwat dengan seorang tukang urut warga Thailand di sebuah hotel di bandar ini dalam satu operasi bersepadu Jabatan Agama Islam Johor (JAJ), tengah malam semalam.
Pengarah yang berasal dari Perak itu didapati berada di dalam bilik hotel berkenaan pada jam 12 tengah malam apabila anggota penguat kuasa mengetuk pintu untuk melakukan pemeriksaan.

Ketika disoal, pengarah terbabit memberi alasan mahu menyegarkan diri kerana penat memandu selepas menghadiri mesyuarat di Putrajaya dan akan menyertai satu dialog bersama jabatannya di bandar ini, semalam.
Tidak cukup dengan itu, pengarah terbabit turut meminta supaya penguat kuasa JAJ melepaskannya kerana bimbang akan digantung tugas jika kes berkenaan dibawa ke mahkamah seterusnya menjejaskan statusnya sebagai penjawat awam.

Pengarah terbabit bagaimanapun mengakui kesalahannya membawa masuk tukang urut berusia lingkungan 40-an itu ke biliknya dan berkali-kali memberi alasan bahawa mereka tidak melakukan maksiat sebaliknya dia hanya berurut untuk menghilangkan penat.

Pengarah itu antara empat pasangan yang ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan kira-kira 138 penguat kuasa dan pegawai JAJ termasuk 60 imam seluruh negeri ini yang mengikuti modul pembelajaran untuk bergelar penguat kuasa agama Johor.
Selain pengarah terbabit, sepasang kekasih yang masing-masing berusia 31 tahun turut ditahan kerana dipercayai berkhalwat di hotel sama.

Mereka yang masing-masing berasal dari Bukit Pasir dan Batu Pahat memberi alasan menginap di hotel berkenaan kerana ada urusan penting.
Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat manakala sepasang kekasih ditahan mengikut Seksyen 29 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Timbalan Pengarah JAJ, Ramly Jusoh, berkata operasi bersepadu itu adalah kali kedua dijalankan bagi membendung kegiatan maksiat di Johor.

“Operasi besar-besaran ini adalah tugas rutin JAJ sebagai langkah pencegahan dan ia kali kedua diadakan selepas Batu Pahat.

“Ia membabitkan pemeriksaan di hotel serta rumah tumpangan di seluruh bandar ini dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Operasi berkenaan juga dapat memberi pendedahan kepada 60 imam yang mengikuti modul kursus bagi melayakkan mereka bergelar penguat kuasa di negeri ini selepas menerima pentauliahan,” katanya ketika ditemui.

No comments:

Post a Comment