Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Gajah liar serang ladang sawit

Gajah liar serang ladang sawit
Tiga peneroka menunjukkan kesan pokok sawit yang ditumbangkan sekumpulan gajah di Felda Kota Gelanggi 2, baru-baru ini.
JERANTUT – Peneroka Felda Kota Gelanggi 02 dekat sini diancam kebimbangan berikutan ladang milik mereka diceroboh sekumpulan gajah liar sejak lebih seminggu lalu.

Difahamkan, antara empat hingga enam ekor termasuk anak haiwan berkenaan menceroboh ladang sawit di Blok A3, A4, A6, 16, 17 dan 19 dan seterusnya memusnahkan tanaman menyebabkan peneroka berdepan kerugian.

Seorang peneroka Kota Gelanggi 2, Ishak Jusoh, 62, berkata, pencerobohan haiwan itu memusnahkan tanaman sawit diusahakan sehingga menyebabkannya kerugian sebanyak RM8,000.

Menurutnya, haiwan berkenaan menceroboh kawasan ladang pada tengah malam sehingga subuh dan dipercayai datang dari Hutan Simpan Berkelah bersempadan tanah rancangan di sini.

“Sudah 30 tahun saya tinggal di Felda ini dan belum pernah berdepan dengan ancaman hidupan liar namun gangguan gajah kali ini kerap kali berlaku di sini.

“Gajah yang masuk ke ladang ini menumbangkan pokok sawit yang mana pelepah dan pucuk diambil untuk dimakan,” katanya.

Rakannya, Shafie Ariffin, 60, berkata, mereka terkejut apabila gajah berkenaan memusnahkan tanaman sawit dan meninggalkan najis di merata-rata tempat di blok 17 dan 19 ladang sawit Felda.

Menurutnya, tiada apa yang dapat dilakukan melainkan menghubungi Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (Perhilitan) agar tampil memantau dan menghalau haiwan berkenaan balik ke hutan asal.

“Kami juga mengambil inisiatif membuat rondaan sekitar kawasan ladang dan menyalakan unggun api pada waktu malam untuk mengelakkan gajah liar masuk semula ke kawasan ladang.

“Kami juga mengharapkan Perhilitan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah gangguan haiwan liar yang bukan sahaja merosakkan tanaman malahan mengancam keselamatan peneroka ketika bekerja di ladang,” katanya.

No comments:

Post a Comment