Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Fikir sebelum kahwin

KUALA LUMPUR: Berkahwin dengan warga asing nampak mudah, namun boleh merosakkan diri dan anak-anak sekiranya ikatan pernikahan itu tidak dirancang dengan baik.
Presiden Lembaga Kaunselor Profesional Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, banyak perkara perlu diambil kira oleh seseorang yang mempunyai niat untuk berkahwin dengan warga asing.

Antaranya termasuk soal kewarganegaraan, pendaftaran surat beranak, pendaftaran persekolahan, kesihatan, perbezaan gaya hidup, nilai sosial dan penerimaan keluarga kedua-dua pihak.
“Ada antara kita hari ini khususnya golongan wanita berpendapat perkahwinan campur lebih membahagiakan kerana layanan dan perhatian diberikan warga asing lebih baik berbanding orang tempatan.

“Berikutan itu ramai yang tidak berfikir panjang mengenai kesan dan akibat yang terpaksa ditanggung sekiranya mereka berdepan kegagalan rumah tangga,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam yang memaparkan penderitaan Hanafi Salleh, 36, selepas dua anaknya dilarikan ibu mereka ke New Zealand tujuh tahun lalu.
Nelayan dari Tanjung Agas, Muar, Johor itu terlalu merindui anak kesayangannya, Muhammad Shayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, hingga sanggup melakukan apa saja untuk membawa mereka pulang termasuk meminta bantuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, April lalu.

Menurut Dr Mohamed Fadzil, beliau tidak menolak fakta bahawa perkahwinan campur mempunyai banyak kebaikan, terutama dari segi memperkayakan budaya dan bangsa.
“Tetapi, apabila perkahwinan itu hanya berlandaskan pada naluri semata-mata, maka ia boleh mendatangkan banyak masalah, termasuk keruntuhan institusi rumah tangga, penganiayaan kepada anak dan isteri, penderaan, pemerdagangan serta pengabaian,” katanya.

Menjelas berhubung punca mengapa orang tempatan mula memilih warga asing sebagai pasangan hidup mereka, Dr Mohamed Fadzil berkata, ia berkemungkinan wujud atas beberapa sebab.

“Saya percaya banyak perkahwinan sebegini berlaku tanpa perancangan. Maksudnya, mereka tidak tahu apa implikasi dan cabaran yang terpaksa dihadapi apabila berkongsi hidup dengan orang yang berlainan budaya, cara hidup dan nilai sosial.

“Bagaimanapun, ada juga yang mengambil keputusan berkahwin dengan orang asing kerana mahukan perhatian serta perlindungan selepas berdepan dengan pelbagai masalah hidup,” katanya.

Beliau berkata, di negara ini, ada kes perkahwinan campur membabitkan remaja tempatan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan memilih lelaki asing untuk memudahkan mereka menyelesaikan isu kewarganegaraan.

“Bagi lelaki pula, mereka terbahagi kepada dua jenis iaitu jujur berkahwin atas dasar cinta dan hendak mengambil kesempatan.

“Kalau memang sayang, kita percaya mereka boleh bahagia, tapi jika untuk mengambil kesempatan, lelaki jenis inilah yang menyumbang kepada peningkatan anak gelandangan.

“Ibu bapa berpisah, anak ditinggalkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kemudian terdedah pula kepada stigma negatif,” katanya.

No comments:

Post a Comment