Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Empat lelaki termasuk dua beradik ke tali gantung

KUALA LUMPUR - Dua beradik dan dua lagi lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar kanabis seberat 22 kilogram, tiga tahun lepas.
 
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati kesemua tertuduh di akhir kes pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Badrul Hisham Kamaruddin, 42, dan adiknya Mohd Amirul, 24, Syed Mohamad Anis Alkaff Syed Osman, 55, dan Azhar Ali, 47, didapati bersalah mengedar kanabis  seberat 22,007 gram di hadapan kilang aluminium New Age, 160B New Village, Jalan TUDM, Petaling Jaya, kira-kira 4.20 petang, 21 Februari 2009.
 
Hakim Asmabi dalam penghakimannya berkata: "Setelah meneliti keterangan kesemua 13 saksi pendakwaan dan pembelaan keempat-empat tertuduh, mahkamah mendapati versi pihak pembelaan adalah satu penafian semata-mata dan lebih ke arah "after taught" (difikirkan kemudian)".

Katanya pembelaan Badrul Hisham selaku tertuduh pertama dan adiknya selaku tertuduh kedua yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, mengakui mereka telah bertemu sebanyak tiga kali dengan "ejen provokator" (pegawai polis menyamar sebagai pembeli) bukan berkaitan dengan jual beli dadah tetapi lebih berkaitan dengan jual beli kulit ular.

Sementara itu pembelaan Syed Mohamad Anis Alkaff dan Azhar ialah bahawa mereka ke Kuala Lumpur adalah semata-mata berkaitan dengan pembelian sebuah lori, katanya.
 
Hakim Asmabi juga berkata keterangan pihak pembelaan bahawa wujudnyawatak "Jo" dalam membuat transaksi dengan "ejen provokator" juga tidak dapat diterima kerana pihak pembelaan tidak mengeluarkan sapina terhadapnya ataupun kemukakan bukti kukuh wujudnya watak "Jo" sepertimana yang didakwa oleh tertuduh.

Peguam Nik Mohd Radhia mewakili dua beradik manakala peguam Surjan Singh mewakili Syed Mohamad Anis dan  Azhar diwakili peguam A. Nadarajan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan hadir untuk pihak pendakwaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment