Search This Blog

Saturday, June 9, 2012

Dua Nigeria tipu janda didakwa



KUALA LUMPUR – Dua lelaki Nigeria yang juga ahli sindiket penipuan internet dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua tuduhan menyalahgunakan wang sebanyak RM36,000 milik seorang janda kaya yang dimasukkan ke dalam akaun bank dua individu lain pada awal tahun ini.
Tertuduh pertama, Oladare Rasheed Kayode, 26, seorang pelajar kolej mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dihukum penjara enam bulan serta sekali sebatan oleh Majistret Nur Azura Murah.
Lelaki itu juga dihukum penjara enam bulan kerana tinggal lebih masa di negara ini dengan hukuman bagi dua kesalahan itu diarah berjalan serentak mulai tarikh ditangkap pada 21 Mei lalu.
Bagaimanapun, rakannya, Okalie Francis Abua, 30, yang mendakwa dirinya seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.
Mereka berdua yang dibaca kertas tuduhan secara berasingan didakwa menyalahguna wang milik seorang perunding syarikat, Fatimah Abu Bakar, 64, yang dimasukkan dalam dua akaun CIMB iaitu akaun Nor Aisiah Idris, 52, dan akaun Jasvinder Kaur Singh, 31, (isteri kepada Okalie).
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 27 April lalu antara pukul 1.05 dan pukul 1.08 petang dan 18 Mei lalu, pukul 3.33 petang di mesin pengeluaran wang automatik dan kaunter cawangan Bank CIMB Desa Jaya, No. 4, Jalan 54, Desa Jaya, Kepong.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Oladare memohon hukuman ringan terhadap anak guam kerana dia masih belajar dan mahu hukuman berjalan serentak.

No comments:

Post a Comment