Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Dua kapal pindah minyak ditahan



Kapal MT Lumba (kiri) dan TB Lautan Kakap ditahan oleh Maritim Malaysia Wilayah Selatan kerana disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di Tanjung Piai, Pontian, semalam.
JOHOR BAHRU 27 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan menahan dua kapal yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Tanjung Piai, Pontian awal pagi ini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Adon Shalan berkata, kedua-dua kapal berkenaan, MT Lumba dan TB Lautan Kakap ditahan kira-kira 5.9 kilometer barat daya Tanjung Piai pukul 1.20 pagi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 3,000 liter diesel dipindahkan dari kapal TB Lautan Kakap ke kapal MT Lumba yang kedua-duanya berdaftar di Mongolia.
"Terdapat 20 anak kapal warga Indonesia berusia 24 hingga 47 tahun berada di kedua-dua kapal berkenaan.
"Pegawai dan ketua jurutera kedua-dua kapal tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia daerah Johor Bahru untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, Adon berkata, pihaknya menyelamatkan sebuah kapal kargo, MV SST yang membawa muatan sulfur selepas terkandas di Batuan Tengah dekat perairan Pengerang, Kota Tinggi semalam.
Katanya, kapal berdaftar di Panama dan membawa 30 anak kapal warga Korea Selatan yang dalam perjalanan dari Singapura ke China itu dikatakan mengalami kebocoran selepas melanggar batu ketika cuba mengelak sebuah bot nelayan.
"Jabatan Laut mengesahkan tiada tumpahan minyak dan pencemaran sulfur di perairan negara berlaku namun pemantauan tetap dijalankan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment