Search This Blog

Friday, June 29, 2012

Dirempuh ketika melintas

MELAKA: Perjalanan seorang lelaki warga emas untuk menikmati sarapan di sebuah warung di sekitar Kampung Pulau Samak, Batu Berendam di sini, berakhir tragedi apabila maut dirempuh motosikal ketika melintas jalan di Jalan Batu Berendam, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, Haron Osman, 83, keluar bersendirian menuju ke warung berkenaan yang terletak 150 meter dari rumahnya.


Namun, ketika melintas jalan, mangsa yang masih bujang itu dirempuh motosikal dan mengalami kecederaan teruk di kepala sebelum mati di tempat kejadian.

Anak saudaranya, Yaakub Gantang, 42, berkata, dia yang berada tidak jauh dari situ terkejut apabila dihampiri pekerja warung itu.


“Dia menjerit dan memberitahu bapa saudara dilanggar ketika melintas jalan. Saya bergegas ke situ dan mendapati bapa saudara tidak bernyawa,” katanya.


Menurutnya, penduduk setempat sememangnya mengenali arwah yang sudah menjadi rutinnya bersarapan di warung itu setiap pagi.


“Namun, hari ini (semalam), saya tidak sangka dia tidak sempat menjamah makanan dan pergi buat selama-lamanya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dirempuh motosikal Honda Wave ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun.

No comments:

Post a Comment