Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Curi 3 meter air dalam 3 minit

Curi 3 meter air dalam 3 minit
Abdul Majid (kanan) menunjukkan pili meter dan alat yang digunakan untuk membuka pili meter yang berjaya dirampas
KLUANG - Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian meter air milik Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) di sebuah kedai di Taman Desa, dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Abdul Ali berkata, kedua- dua suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi hasil aduan awam dan serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Menurutnya, ketika serbuan, suspek yang berumur antara 36 dan 60 tahun itu sedang membuat urusan jual beli di sebuah kedai barang lusuh di pinggir bandar Kluang.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas satu beg sandang milik salah seorang suspek yang berisi 13 unit meter air.
“Malah, polis juga mendapati salah seorang suspek itu adalah pemilik kedai barang lusuh yang mahu membeli barang curi untuk dijual di kedainya,” katanya pada sidang media di IPD Kluang, semalam.
Beliau berkata, suspek mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mencuri tiga meter air berdasarkan rakaman video yang diperoleh hasil risikan polis.
Katanya, kedua-dua suspek didakwa di bawah Seksyen 379/411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi.
“Walau bagaimanapun, mereka masih dalam tahanan reman sehingga hari ini (semalam) dan soal siasat masih dijalankan ke atas mereka.
“Mengikut laporan polis dari Januari hingga bulan ini, sebanyak 230 unit meter air dilaporkan hilang dan diharap dengan tangkapan dua suspek ini, ia dapat menyelesaikan masalah
kecurian meter air di sekitar daerah ini,” katanya.
Abdul Majid turut mengingatkan kepada semua pengusaha kedai barangan lusuh agar tidak membeli barangan curi terutama sekali harta milik kerajaan kerana mereka yang terlibat juga boleh dikenakan hukuman kerana bersubahat membeli serta menjual barang curi. 

No comments:

Post a Comment