Search This Blog

Saturday, June 2, 2012

Cuba serang polis dengan pedang samurai

Cuba serang polis dengan pedang samurai - Utara - Sinar Harian:

Cuba serang polis dengan pedang samurai
Suspek yang cedera di paha dibawa ke HPP untuk rawatan.
GEORGETOWN - Tindakan seorang lelaki cuba menyerang anggota polis menggunakan sebilah pedang samurai membawa padah apabila cedera di paha selepas terkena tembakan yang dilepas anggota terbabit dalam kejadian di  Lebuh Macallum awal pagi  semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.20 pagi itu, suspek bersama seorang rakan berusia dalam lingkungan 30- an menunggang motosikal ke sebuah kafe internet untuk melakukan  rompakan. Namun hasrat mereka merompak gagal apabila seorang wanita yang melihat gelagat mereka menjerit dan meminta pertolongan orang ramai.

Difahamkan, tiga anggota polis dari pos Macallum yang kebetulan sedang  melakukan rondaan cegah jenayah berhampiran kawasan berkenaan terdengar jeritan wanita itu lalu membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Timur  Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, ketika  nggota polis terserempak dengan mereka, salah seorang daripadanya memegang sebilah pedang yang ketika itu berada  dalam kafe berkenaan terkejut dengan kemunculan polis.

“Berang dengan kehadiran polis, suspek cuba menyerang mereka dengan melibas pedang yang dipegangnya. Bagi mempertahankan diri, salah seorang anggota polis melepaskan satu das tembakan  ke arah kaki suspek.

“Suspek kemudian rebah selepas tembakan itu mengenai paha kiri manakala  rakannya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya. Suspek yang cedera itu akhirnya ditahan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang  berasal dari Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah, khianat dan pukul.

Menurutnya, polis merampas pedang sepanjang 56 sentimeter yang ditemui di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang  dijalankan untuk  mengesan rakannya itu.“Siasatan dibuat mengikut  Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika bersalah boleh dipenjara 14 tahun, denda atau sebatan,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment