Search This Blog

Saturday, June 2, 2012

Buruh mengaku tidak bersalah rogol jiran OKU

Buruh mengaku tidak bersalah rogol jiran OKU - Pahang - Sinar Harian:
KUANTAN - Seorang buruh tidak mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol jirannya iaitu seorang gadis bawah umur yang juga orang kurang upaya (OKU) pada Jun, 2010 lalu.

Tertuduh, Amri Mustaffa, 26, mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Umairah K M Heider.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Amri dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 17 tahun dan dua bulan di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Nenasi, Pekan pada 8 Jun 2010, kira-kira jam 1 petang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Azman Ariffin yang menawarkan jaminan sebanyak RM7,000.

Namun Umairah menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes termasuk jumlah jaminan yang akan dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditemani ahli keluarganya sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

Sebelum ini, berdasarkan fakta kes, tertuduh mengambil kesempatan merogol mangsa selepas mendapati mangsa tinggal seorang diri ketika pergi ke rumahnya pada hari kejadian untuk meminjam peralatan bertukang.

Keadaan mangsa yang tidak boleh bercakap dan mengalami masalah mental tidak mampu melawan perbuatan tertuduh dan kejadian itu hanya disedari oleh adik mangsa yang berusia 12 tahun ketika pulang dari sekolah.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, seorang lelaki, Mohd Zaimi Abdullah, 40, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan pada seorang lelaki, Isnin lalu.

Umairah menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Chif Inspektor Mohd Azman Ariffin.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment