Search This Blog

Saturday, June 9, 2012

Budak 2 tahun terperangkap dalam kereta

Budak 2 tahun terperangkap dalam kereta - Terengganu - Sinar Harian:
DUNGUN – Seorang juruteknik berdepan detik mencemaskan apabila anak perempuannya berusia dua tahun yang ditinggalkan dalam kenderaan dengan enjin dihidupkan, terperangkap lebih sejam selepas pintu kereta terkunci.

Kejadian jam 3.30 petang berhampiran stor Jabatan Kerja Raya dekat sini, berlaku ketika Wan Mazudin Wan Mansor, 42, sedang melihat sebuah rumah untuk urusan jual beli di satu tapak rumah dekat sini.

Anaknya, Wan Putri Airin Rania, 2, yang ditinggalkan dalam kenderaan dengan enjin dan pendingin hawa dihidupkan berdekatan rumah itu, dikatakan secara tidak sengaja menekan kunci pada pintu, menyebabkan anak bongsu daripada tiga beradik itu terperangkap.

Mazudin cuba memujuk anaknya itu membuka kunci pintu dari dalam serta menurunkan cermin tingkap, namun gagal menyebabkan dia mulai cemas lalu minta bantuan beberapa rakannya.

“Saya cuba membuka pintu dengan memberi isyarat agar dia membuka kunci dari dalam, tapi dia mungkin tidak memahaminya.

“Lepas lebih sejam setengah, usaha saya buntu lalu saya hubungi pihak bomba untuk meminta bantuan,” katanya.

Bimbang keadaan anaknya yang terperangkap lama, dia nekad memecahkan cermin sisi Proton Saga BLM miliknya, dengan mencungkilnya menggunakan pemutar skru sebelum berjaya menyelamatkan anak perempuannya itu.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment