Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi disamun RM300,000



KUALA LUMPUR 29 Jun - Seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan empat ahli keluarganya kerugian RM300,000 selepas disamun empat lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh masuk ke dalam banglo dua tingkat milik mangsa di Taman Seputeh di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, mangsa, Datuk Dr. R. Kamalanathan dan ahli keluarganya serta dua pembantu rumah turut diikat kaki dan tangan mereka oleh suspek yang menaiki sebuah kereta BMW.
Jurucakap polis berkata, semasa insiden berlaku, mangsa berehat di halaman rumahnya sebelum sebuah kereta tiba-tiba berhenti lalu tiga lelaki bertindak memanjat pintu pagar banglo itu.
Katanya, mangsa yang kini berkhidmat sebagai peguam tidak sempat melarikan diri dan dibawa masuk ke dalam rumah untuk dikumpulkan bersama ahli keluarganya di dalam sebuah bilik di tingkat atas.
"Tiga daripada suspek yang bersenjatakan parang mengawal kesemua mangsa dan seorang lagi menggeledah banglo itu untuk mencari barang-barang bernilai.
"Suspek mengambil masa kurang 10 minit untuk melarikan pelbagai barangan kemas termasuk jam tangan mangsa yang keseluruhannya dianggarkan RM300,000," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan berlaku sedikit pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkannya cedera di tangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi hari ini berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment