Search This Blog

Saturday, June 9, 2012

Anggota penguatkuasa nyaris dirempuh trak penunda

Anggota penguatkuasa nyaris dirempuh trak penunda - Perak - Sinar Harian:
IPOH - Seorang anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) nyaris maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah trak penunda di Jalan Raja Muda Aziz, di sini, hari ini.

Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasan MBI, Abdul Halim Saad berkata anggota penguatkuasa terbabit bagaimanapun mengalami luka kecil selepas beliau sempat melompat dari motosikalnya yang remuk akibat rempuhan itu.

Dalam kejadian pukul 9.05 pagi itu, pemandu trak penunda berkenaan dikatakan marah berikutan kenderaannya itu yang diletak di luar petak parkir dikenakan kompaun oleh anggota penguatkuasa berkenaan.

Abdul Halim berkata kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota penguatkuasa itu, pemandu berkenaan bertindak mencekak, menumbuk dan memaki hamun seorang lagi anggota penguatkuasa yang turut berada di tempat kejadian sebelum membaling tiket kompaun tersebut ke muka anggota penguatkuasa itu.

Beliau berkata pemandu terbabit kemudian terus menghidupkan enjin trak penundanya lalu memandu merempuh dua buah motosikal milik MBI terus melarikan diri.

Abdul Halim berkata kejadian tersebut yang kedua berlaku tahun ini dan pihaknya berharap orang ramai dapat mengawal kemarahan dan tidak melepaskan berang mereka kepada anggota penguatkuasa.

Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan kedua-dua anggota terbabit membuat laporan polis dan menyerah perkara tersebut kepada polis untuk menyiasat dan tindakan selanjutnya.

"Adalah tidak wajar orang ramai memarahi pegawai awam yang sedang menjalankan tugas dan berharap kejadian tersebut tidak berulang," katanya.- Bernama
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment