Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Ajal di tiang terakhir

myMetro | Ajal di tiang terakhir:

PORT DICKSON: Juruelektrik Mohd Nazri Omar, 39, yang maut terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pembaikan di atas tiang di kawasan Balai Polis Chuah di sini petang kelmarin, beria-ia mahu melakukan kerja penyelenggara pada tiang terakhir.
Rakannya, Md Jalil Sabtu, 47, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, Mohd Nazri sedang melakukan kerja pembaikan di atas tiang lampu berkenaan apabila dia dikatakan terkena renjatan elektrik disusuli letupan kecil.

Menurutnya, sebelum itu kumpulan mereka yang bekerja dengan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) siap menyelenggara lebih 20 tiang elektrik di Lukut dan Port Dickson.
“Kami sudah siapkan kerja dan saya beritahu dia yang mesra dipanggil Wak, kami mahu pulang,” katanya. “Mohd Nazri berkata, dia mahu menyiapkan kerja pada tiang terakhir di kawasan Balai Polis Chuah.

“Setengah jam kemudian ketika dalam perjalanan pulang, saya mendapat panggilan memberitahu Nazri terkena renjatan elektrik di belakang kuarters dan dia sedang diturunkan oleh polis dan rakan setugas,” katanya yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson, semalam.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd Farid Daud, 24, berkata dia mendapat panggilan memberitahu kejadian berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.
Ketika Mohd Farid yang bertugas sebagai anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Seremban bergegas ke tempat kejadian, dia mendapat panggilan kedua memberitahu bapa saudaranya sudah meninggal dunia.

Isteri mangsa, Norhayati, 25, warga Indonesia, enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kemalangan itu.
Mereka berkahwin pada 2008 baru saja meraikan ulang tahun perkahwinan keempat 11 Jun lalu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun, mengesahkan menerima laporan kes berkenaan yang setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment