Search This Blog

Friday, June 29, 2012

Agensi pekerja kebas RM15,000

PETALING JAYA: “Niat saya mahu membantu rakan pekerja warga asing memperbaharui permit kerja, namun bala pula yang dapat apabila duit kira-kira RM15,000 yang diamanahkan kepada saya untuk urusan berkenaan dikebas agensi yang menawarkan perkhidmatan perbaharui permit pekerja asing,” kata mangsa, Hasbi Mat Arap, 44, ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, lima pekerja warga Indonesia berkenaan menemuinya Januari lalu bagi meminta bantuan menguruskan permohonan memperbaharui permit kerja melalui agensi pekerja asing yang menyediakan perkhidmatan itu.

“Saya tidak keberatan membantu lima pekerja asing itu kerana sudah mengenali mereka sebelum mendapatkan khidmat satu agensi pekerja asing di Dataran Bandar Utama, Damansara, di sini yang boleh menguruskan proses permohonan itu.
“Kami kemudian berurusan dengan seorang pekerja agensi terbabit dikenali sebagai Kent Wong. Selepas berbincang, setiap pekerja asing dikenakan bayaran kos perbaharui permit RM5,000 seorang,” katanya.

Hasbi berkata, jumlah keseluruhan yang diminta lelaki terbabit adalah RM25,000, tetapi dia membuat bayaran deposit RM15,000, manakala bakinya akan diserah sebaik urusan selesai.

“Wang tunai RM15,000 dibayar di pejabat agensi pekerja asing terbabit pada Februari lalu. Bagaimanapun, saya tidak diberikan resit sebagai bukti pembayaran.
“Saya tidak pula meminta resit pembayaran kerana yakin agensi terbabit tidak akan menipu kerana sudah terlebih dulu memeriksa latar belakang syarikat itu,” katanya.

Katanya, pada April lalu, lelaki terbabit memaklumkan pasport pekerja warga asing berkenaan hampir luput dan ia perlu diperbaharui bagi memudahkan proses permohonan permit kerja.
“Sebulan kemudian, saya menghubungi Kent dan memaklumkan pasport baru pekerja asing berkenaan sudah siap dan mahu bertemu untuk menyerahkan dokumen itu.

“Namun, Kent mula memberi pelbagai alasan bagi mengelak daripada berjumpa menyebabkan saya tidak sedap hati,” katanya.

Hasbi berkata, lelaki terbabit meminta tempoh sehingga akhir Mei untuk menyelesaikan urusan permohonan memperbaharui permit kerja itu, namun dia yang tidak mendengar sebarang berita daripada pekerja agensi terbabit kemudian datang ke pejabat syarikat itu di Dataran Bandar Utama.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila diberitahu syarikat agensi itu sudah gulung tikar.

“Malah, saya juga dimaklumkan syarikat terbabit juga dicari pihak pengurusan bangunan kerana tidak membayar sewa pejabat,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Hasbi membuat laporan di Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment