Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

4 wanita berkhalwat dipenjara

4 wanita berkhalwat dipenjara - Terengganu - Sinar Harian:
PERMAISURI - Empat wanita terpaksa meringkuk selama sebulan dalam penjara kerana masing-masing mengaku bersalah melakukan kesalahan khalwat dan persediaan melakukan persetubuhan haram.

Mereka dijatuhkan hukuman itu selepas gagal membayarkan denda yang dikenakan Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Setiu di sini. Mereka juga sebelum ini berdepan waran tangkap kerana gagal hadir  eberapa kali ke mahkamah bagi mendengar sebutan kes di Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Dua daripada mereka ditangkap dalam sebuah rumah bersama seorang lelaki di Kampung Jawek, Jertih pada 11 April tahun lalu. Wanita berkenaan berusia 35 tahun berasal dari Thailand dan rakannya, 40, warga tempatan itu  sebelum ini telah berpindah rumah dipercayai untuk mengelak dikesan penguat kuasa dan kedua-dua mereka didenda RM2,400 atau sebulan penjara kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah  Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Lelaki yang merupakan pasangan dua wanita itu pula masih gagal dikesan. Sementara itu, untuk kes kedua, seorang janda berusia 40 tahun didakwa atas kesalahan sama apabila dia ditangkap pihak berkuasa di dalam pondok di  sebuah kebun getah bersama dua lelaki berusia 28 tahun dan 16 tahun berdekatan Kampung Darau, Hulu Besut selepas mendapat aduan orang ramai, Ahad lalu.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan pernah ditangkap berkhalwat seorang lelaki berusia 28 tahun di sebuah chalet di Seberang Kastam pada 13 Mei tahun lalu. Dia didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 29  Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana persediaan mengadakan seks luar nikah menyebabkan dia didenda RM2,900 atau sebulan penjara.

Manakala seorang lagi wanita berusia 32 tahun yang ditangkap kerana bersekedudukan dengan seorang lelaki berusia 42 tahun di sebuah rumah di Kampung Padang Bual, Hulu Besut pada 12.20 malam, 4 Julai tahun lalu turut  didakwa di mahkamah sama.

Usaha mereka melarikan diri gagal kerana penguat kuasa Pejabat Agama Islam Besut berjaya menahan mereka di rumah masing-masing pada Ahad lalu sebelum didakwa di mahkamah. Wanita berkenaan didenda RM2,500 atau  sebulan penjara atas kesalahan di bawah Seksyen 31 (b) manakala pasangannya telah menjalani hukuman penjara pada 27 Mac lalu selama sebulan kerana gagal membayar denda.

Kesemua mereka dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan kerana gagal membayar denda.

No comments:

Post a Comment