Search This Blog

Friday, June 29, 2012

300 lesen batal

TINDAKAN menyeleweng diesel bersubsidi atau memajak lesen menangkap ikan nelayan kepada nelayan asing menerima padah apabila 300 lesen itu dibatalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, pembatalan lesen itu dibuat dalam satu proses pemutihan ke atas nelayan terutama di pantai timur Semenanjung yang diadakan, baru-baru ini.


“Ramai pemilik bot dan pemegang lesen memajakkan lesen kepada nelayan lain termasuk dari Vietnam. Bot mereka mendapat subsidi diesel tetapi ikan yang didaratkan tidak setimpal dengan diesel subsidi itu.

“Oleh itu, kami menarik balik lesen mereka bagi memastikan hanya nelayan yang mengusahakan sendiri bot mereka diberikan kelulusan menangkap ikan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.


Beliau yang menjawab soalan tambahan Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) berkata, kementerian juga bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memantau kesalahan yang dilakukan seperti penjualan ikan dan minyak bersubsidi di tengah laut.


Sementara itu, menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Pendang), Mohd Johari berkata, sebanyak 433,218 tan metrik ikan dalam bentuk segar dan beku diimport ke negara ini tahun lalu.


“Selain memenuhi keperluan orang ramai, ikan ini juga diimport untuk perusahaan kilang pemprosesan bagi produk nilai tambah pasaran dalam negara dan eksport.


“Antara negara pengeksport ikan ke negara ini termasuk Thailand, Indonesia, India, Pakistan, Bangladesh, China dan Vietnam,” katanya.

Selain itu, katanya, antara usaha yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menstabilkan harga ikan dalam negara termasuk menggalakkan pengimport mengimport spesies ikan tertentu mengikut musim bekalan ikan dapat memenuhi permintaan dalam negara.


Katanya, kementerian melaksanakan Program Insentif Hasil Tangkapan bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka dalam negara, seterusnya membantu menambahkan bekalan ikan dalam negara.

No comments:

Post a Comment