Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

3 lelaki terlibat enam kes pecah rumah ditahan



MOHAMAD Nasir Ramli (kiri) melihat sebuah kereta mewah yang dicuri dan berjaya ditemui semula di Muar, Johor, semalam.
MUAR 29 Jun - Polis merampas pelbagai barangan bernilai RM500,000 setelah menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam enam kes pecah rumah di sekitar Parit Jawa, Bukit Pasir dan Muar sejak Januari lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kesemua suspek ditahan pada Jumaat lalu dengan yang pertama ditahan pukul 6 pagi manakala dua lagi pada pukul 11 malam, di rumah masing-masing.
Katanya, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek yang berumur 20-an didapati positif dadah.
"Seorang daripadanya bekerja sebagai jurukimpal manakala dua lagi tidak bekerja. Berikutan penangkapan suspek itu, kita memburu lima lagi suspek yang telah dikenal pasti identiti mereka.
"Melalui dua serbuan itu, kita merampas sebuah kereta Mercedes-Benz, barang kemas dan dua buah motosikal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda.
Dalam satu lagi serbuan, Mohamad Nasir berkata, pihaknya menahan dua suspek kes pecah rumah di Jalan Joned dan merampas barang curi antaranya sebuah kereta Mercedes-Benz, dua jam tangan Rolex, barang kemas dan dua komputer riba.
Katanya, kesemua barang tersebut dirampas dalam rumah mereka termasuk disembunyikan dalam kereta curi yang sudah ditukar nombor pendaftarannya.
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Muar menyerbu sebuah rumah di Jalan Sakeh pukul 10.15 malam tadi dan menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana terlibat dalam perjudian kejohanan bola sepak Euro 2012.
Mohamad Nasir berkata, pihaknya merampas wang tunai RM126, telefon bimbit dan dokumen yang membabit nilai taruhan RM200,000 di sekitar daerah ini.

No comments:

Post a Comment