Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

2 lelaki dicari bantu siasatan

2 lelaki dicari bantu siasatan
Mohd Mokhtar (dua kanan) menunjukkan dadah yang dipercayai syabu dan ecstasy yang berjaya dirampas, semalam
PONTIAN - Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah berjumlah RM18 juta di sebuah kilang makanan sejuk beku yang terbakar di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nenas, dekat sini Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kedua- dua lelaki itu dicari bagi membantu siasatan polis dalam kegiatan memproses dadah di kilang berkenaan.
“Kita mahu agar kedua-dua lelaki ini menyerah diri bagi membantu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, semalam.
Selain itu katanya, seorang lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit telah ditangkap di Kulaijaya Rabu lalu, bagi membantu siasatan.
“Suspek yang ditangkap tidak mempunyai rekod jenayah dan kini dia sedang ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis juga kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti modus operandi, tempoh beroperasi dan mereka yang terlibat dalam kes penemuan dadah yang dianggarkan
bernilai RM18 juta selepas kilang tersebut terbakar.
Beliau berkata, hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, polis telah menemui dan merampas 20.230 kilogram dadah dipercayai syabu dan 249,000 pil ecstasy yang boleh menampung keperluan 350,150 penagih.
“Turut dirampas, tiga pucuk pistol dan 20 butir kelongsong peluru bersama sebuah kereta Mercedes Benz dan sebuah Honda Odyssey bernombor pendaftaran asing,” katanya.
Katanya, polis percaya dadah yang dihasilkan di kilang tersebut dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negara.
“Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan seksyen 32 ADB 1998, serta Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971.

No comments:

Post a Comment