Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

11 rangka motosikal ditemui

11 rangka motosikal ditemui
Anggota polis menaikkan rangka motosikal yang dibuang ke dalam tasik
BALING - Sebanyak lapan rangka motosikal curi ditemui di dalam tasik berdekatan Kampung Charuk Pendiat dan tiga lagi di dalam sungai Kampung Lubuk Pedati, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, penemuan rangka motosikal itu adalah hasil tangkapan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang terlibat dalam kes kecurian motosikal di daerah ini.
“Hasil siasatan mendapati kebanyakan motosikal curi di buang ke dalam sungai dan tasik tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, rangka motosikal terbabit mempunyai rekod laporan hilang di Baling Kupang, Kulim, dan Tikam Batu.
Polis juga mempercayai masih lagi terdapat rangka motosikal di dalam tasik sedalam enam meter itu.
“Keadaan persekitaran tasik yang sunyi menjadikan kawasan itu tumpuan untuk membuang rangka motosikal yang dicuri mereka,” katanya.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Baling, Asisten Superintendan Md Nazir Osman mengambil masa lebih empat jam untuk mengeluarkan
rangka tersebut berikutan keadaan tasik yang keruh dan dalam.
“Keadaan tasik yang dalam dan berselut menyukarkan operasi selain terpaksa menggunakan tali dan kayu bagi menaikkan ke semua rangka motosikal itu,” katanya.
Remaja berusia 17 tahun yang ditahan itu dipercayai giat menjalankan aktiviti kecurian motosikal di daerah ini dengan menumpukan kawasan pasar raya dan pasar malam.
Polis masih lagi memburu dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal di daerah ini.
Mat Daud berkata, polis akan melakukan siasatan terperinci bagi mengesan ke semua mereka yang terlibat dalam perlakuan jenayah itu.
“Kebanyakan suspek adalah lingkungan belasan tahun.
Penahanan remaja ini sedikit sebanyak dapat membantu mengesan lebih remai pelaku yang terlibat dalam kes ini.
“Kita amat memandang serius dan akan memastikan pelaku ini mendapat hukuman setimpal sebagai pengajaran untuk kebaikan masa hadapan mereka,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa perlu memandang serius mengenai perkara ini dan mengambil tindakan tegas kepada anak-anak yang cuba melakukan sebarang aktiviti jenayah.
“Kebanyakan suspek yang ditemu bual mengakui sering ponteng ke sekolah malahan diketahui oleh ibu bapa mereka. Keadaan ini amat menyedihkan kerana ibu bapa adalah penggerak kepada masa hadapan anak-anak mereka.
“Sikap ‘tidak mengapa’ ibu bapa ini hanya meningkatkan lagi kebarangkalian anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti jenayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment