Search This Blog

Friday, June 29, 2012

10 rumah ranap dipukul ribut kencang

BANDAR BAHARU: “Nasib baik saya terdengar jeritan anak lelaki menyuruh saya menyelamatkan diri kerana bumbung rumah di ruang tamu diterbangkan angin.

“Saya bersyukur kerana keluarga tidak mengalami kemalangan,” kata Hendun Darus, 74, antara mangsa ribut yang meranapkan 10 rumah di Kampung Permatang Pasir dan Kampung Banggol Mat Rasid, di sini, semalam.


Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi, penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila angin kencang diikuti hujan lebat melanda kampung berkenaan.

Hendun berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam bilik manakala menantu perempuan, Zailawati Abu Hasan, 30, sedang memasak di dapur sementara anak lelaki, Nasruh Johan, 33, berehat di ruang tamu.


“Saya terkejut kerana anak lelaki saya, Nasruh Johan, 33, tiba-tiba menjerit memanggil saya dan menantu supaya menyelamatkan diri kerana bumbung rumah di bahagian ruang tamu rumah diterbangkan angin.


“Saya bergegas bangun dan melihat ruang tamu rumah basah serta bumbung yang berlubang, kami kemudian menyelamatkan pelbagai barangan untuk mengelak ia terkena hujan,” katanya selepas menerima lawatan wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan yang melawat mangsa ribut kelmarin.


Helmy berkata, dalam kejadian itu 10 buah rumah sekitar kampung Permatang Pasir dan Kampung Banggol Mat Rasid rosak teruk.


Katanya, selain rumah penduduk kampung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Tajuddin juga terbabit dalam kejadian ribut yang melanda kawasan berkenaan.

“Angin kencang turut menumbangkan sebatang pokok yang terletak bersebelahan dengan asrama pelajar di sekolah berkenaan.


“Bagaimanapun pelajar terbabit bernasib baik kerana pokok yang tumbang itu tersangkut pada pagar sekolah.


“Saya berharap mangsa ribut bersabar sementara menanti bantuan dan pihaknya sudah memaklumkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai bencana ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment