Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Warga Iran ditahan,syabu 2kg dirampas

Abd. Razak Elias (dua dari kiri) menunjukkan dua bungkusan syabu seberat 2 kilogram yang dirampas daripada seorang lelaki warga Iran di Bandar Kinrara, Puchong, semalam.
KUALA LUMPUR 30 Mei - Bekalan dadah jenis syabu sebanyak 2 kilogram untuk dijual kepada 7,000 penagih berjaya dirampas selepas polis menahan seorang lelaki warga Iran di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini Ahad lalu.
Suspek berusia 40 tahun ditahan pada pukul 2 petang ketika memandu sebuah kereta dengan membawa dadah tersebut untuk dijual kepada pengedar kecil-kecilan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, syabu yang dibungkus dalam dua bungkusan itu ditemui di tempat duduk belakang kereta jenis Hyundai dipandunya.
"Susulan penahanan itu, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menyerbu rumah sewa suspek di Kondominium Menara Duta di ibu negara dan menemui sejumlah 150 gram syabu.
"Turut dirampas, sebuah alat penimbang elektronik dan kereta Hyundai dipandu suspek. Suspek juga dikesan memasuki negara ini sebagai pelajar sebuah koleh swasta," katanya pada sidang akhbar di IPD Serdang hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek memasuki negara ini sejak Disember lalu dan pasport miliknya telah tamat tempoh.
Abd. Razak memberitahu, dadah bernilai RM325,000 itu dianggarkan untuk bekalan 7,000 penagih.
"Kegagalan menyekat penjualan tersebut akan menyebabkan 7,000 penagih termasuk penagih baru sukar mendapat bekalan dadah.
"Suspek direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

No comments:

Post a Comment