Tiga ibu rayu anak gadis pulang
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong (duduk) bersama tiga ibu yang kehilangan anak masing-masing.
KUALA LUMPUR – Harapan tiga ibu yang mahu menemui anak masing-masing tidak pernah hilang terutamanya ketika menyambut Hari Ibu.

Sambutan kali ini terpaksa diraikan dalam keadaan sedih, menunggu kepulangan anak perempuan mereka yang melarikan diri bersama teman lelaki, salah faham dan akibat kesempitan­ hidup.

Tiga wanita, Che Nolia Hassan, Madam Yong dan Lee Eng Leng masih meletakkan harapan tinggi anak mereka pulang dengan selamat dan menjalani kehidupan lebih baik bersama.

Che Nolia, 45, berkata, dia tidak pernah putus asa mencari anaknya, Noor Haffiza Ibnu Hajar, 24, yang hilang sejak 10 bulan lalu.

Menurutnya, Haffiza dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki dan rakannya, 31 Julai tahun lalu.

“Ketika suami saya masih hidup, Haffiza terpaksa menangguhkan pelajaran di Segamat, Johor untuk membantu saya menjaga ayahnya dan selepas kematian suami, dia kemudiannya melarikan diri.

“Bimbang keselamatan Hafizza, saya buat laporan dan walaupun polis dapat menghubunginya, tetapi dia enggan pulang ke rumah.

“Saya berharap dia pulang ke pangkuan­ keluarga dan kami bersedia untuk memaafkannya,” katanya pada sidang media di Bangunan MCA di sini, semalam.
Sementara itu, seorang ibu yang mahu dikenali Madam Yong, 44, berkata, anaknya, Kong Wei Yan, 16, tidak pulang ke rumah sejak Selasa lalu selepas hantar anaknya ke sekolah di Taman Desa, di sini.

Menurutnya, dia terkejut apabila diberikan surat oleh rakan sekelasnya mengatakan Wei Yan tidak berpuas hati dan mahukan kebebasan.

“Saya dimaklumkan, Wei Yan tidak hadir ke sekolah selama 14 hari sejak Januari hingga April dan mempunyai seorang teman lelaki warga Nigeria," katanya.

Dalam pada itu, Eng Leng, 45, mencari anaknya, Toh Poh Kiew, 20, yang hilang sejak Disember tahun lalu.

Eng Leng berkata, anaknya melarikan diri kerana mempunyai masalah kewangan sehingga menyebabkan dia tidak dapat menyambung pelajaran.

Poh Kiew, anak sulung daripada dua adik beradik ini baru menamatkan pelajaran Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan merupakan pelajar pintar.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, bagi awal tahun ini, lapan kes hilang dilaporkan melibatkan dua remaja lelaki dan enam perempuan.