Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Tidak sempat jumpa keluarga

Tidak sempat jumpa keluarga
Motosikal mangsa yang remuk digilis lori dalam kejadian itu.
BANDAR TUN RAZAK - Anak seorang pegawai polis trafik maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 22.7 jalan Maran menuju Sungai Jerik, petang kelmarin.

Mangsa, Muhammad Husaini Ruslan, 20, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh badan, manakala pemandu lori terbabit melarikan diri sebaik sahaja pelanggaran berlaku.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, polis dengan bantuan penduduk sekitar kini sedang giat mencari pemandu lori terbabit.

“Menurut saksi kejadian, kenderaan yang melanggar mangsa dipercayai lori jenis Isuzu berkepala putih dan mempunyai penutup kanvas berwarna kelabu.

“Ketika kejadian, saksi dikatakan tidak sempat mencatat nombor plat lori terbabit kerana terkejut menyaksikan kejadian tersebut,” katanya.

Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 6.30 petang dan mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat.

Justeru, polis memohon kerjasama pemandu lori terbabit untuk tampil menyerah diri di balai polis berdekatan di samping mengharapkan bantuan orang ramai jika mempunyai maklumat berkaitan.

Ibu mangsa, Norhaliza Malik, 48, berkata, mangsa yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kuarters perumahan polis, Jerantut.

“Arwah tidak memberitahu saya dia hendak pulang ke rumah dan secara tiba-tiba saya mendapat berita mengenai kemalangan ini.

“Kali terakhir kami berjumpa, arwah minta saya doakan kejayaannya dalam peperiksaan akhir” katanya.

Dimaklumkan, Muhammad Husaini adalah pelajar tahun akhir Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan dan bakal menamatkan pengajiannya dua bulan lagi.

No comments:

Post a Comment