Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Tiada lagi usaha bawa pulang

Suriani Abdul Wahab (tengah) yang melarikan diri ke Lombok, Indonesia empat tahun lalu menangis gembira setibanya di LCCT, Sepang, malam tadi.
SEPANG 29 Mei - Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) tidak lagi akan memberi tumpuan membawa pulang gadis tempatan yang melarikan diri bersama jejaka warga asing ke luar negara pada masa depan.
Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, keputusan itu perlu bagi membolehkan KP1M memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat tempatan yang menghadapi masalah kehidupan kritikal.
Beliau berkata, ia juga bagi mendidik bukan hanya para gadis agar berhati-hati dalam menjalin hubungan cinta dengan jejaka asing, bahkan ibu bapa supaya bertindak bijak dalam menangani percintaan anak gadis mereka.
"Kita mahu perlahankan sedikit usaha yang sudah masuk kali ke-51 ini kerana banyak lagi perkara lain yang patut kita lakukan seperti yang menyentuh mengenai kesihatan, ekonomi, pelajaran dan sebagainya.
"Tetapi ini bukan bermakna kita kejam, sebaliknya ia lebih sebagai pengajaran kepada ibu bapa dan gadis supaya tidak mengambil kesempatan atas keprihatinan KP1M," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan Suriani Abdul Wahab, 21, yang melarikan diri bersama seorang jejaka Lombok di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini malam ini.
Suriani yang berasal dari Baling, Kedah melarikan diri bersama kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Madun ke Lombok Barat, Indonesia empat tahun lalu dan berkahwin di sana serta memiliki seorang anak lelaki berumur dua setengah tahun.
Bagaimanapun, Abdul Azeez berkata, Kelab Putera 1Malaysia akan tetap membantu kes-kes seperti itu tetapi ia lebih kepada gadis tempatan bawah umur sahaja.
"Masyarakat kena ingat misi ini bukan hanya melibatkan kos antara RM8,000 hingga RM30,000 bagi satu misi tetapi tenaga dan masa yang agak panjang," katanya.
Sementara itu, suasana hiba tetapi penuh kesyukuran menyelubungi pertemuan antara Suriani dengan ibu bapa serta ahli keluarganya sejurus tiba di LCCT dari Lombok.
Bagaimanapun, Suriani terlalu sebak dan sedih ketika didekati oleh pihak media untuk ditemu bual.
Dia yang tiba tanpa ditemani suami dan anaknya hanya berkata, "terima kasih dan seronok."
Sementara itu, ayah Suriani, Abdul Wahab Salleh dan ibunya, Siti Zalekho Wahab, yang ditemui turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur.
"Kami akan menerima secara terbuka menantu dan cucu kami itu kerana apa yang terjadi, sudah terjadi dan kami anggap ia takdir dan jodoh anak kami," kata Abdul Wahab.

No comments:

Post a Comment