Terjun sawah elak dicekup
Pegawai Imigresen memeriksa semua Pati yang ditahan dalam Ops 6P, awal pagi semalam.
JITRA - Dua lelaki warga asing yang sedang asyik bermain judi lari bertempiaran dan bertindak terjun ke sawah bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa dalam operasi Jabatan Imigresen Kedah di lima lokasi berasingan sekitar Jitra, Ayer Hitam dan Alor Setar, awal pagi semalam.

Kedua-dua warga Myanmar itu antara 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang ditahan dalam Ops 6P bermula jam 11 malam hingga 3 pagi semalam kerana tidak mempunyai pas atau permit sah untuk berada di negara ini.

Operasi selama empat jam itu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah, Nar Azaman Ibrahim bersama 22 anggota penguat kuasa Imigresen.

Seramai 48 Pati diperiksa sekitar kawasan Pondok Haji Bakar, Ayer Hitam, sebuah rumah kedai di pekan lama Ayer Hitam, sebuah rumah di Pondok Ayer Hitam, rumah kongsi sebuah tapak perumahan di Jitra dan Bandar Anak Bukit, Alor Setar.

Nar Azaman berkata, selepas diperiksa hanya 14 pati ditahan, semuanya tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini, manakala selebihnya dilepaskan masing-masing mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah dan masih laku selain mempunyai dokumen sah berada di negara ini.

Menurutnya, mereka terdiri daripada enam lelaki warga Myanmar, enam lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warga Thailand.

“Semua ditahan berusia lingkungan 16 hingga 40 tahun itu terdiri daripada pekerja buruh binaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Nar Azaman berkata, semasa operasi ada dalam kalangan Pati itu sempat melarikan diri ke kawasan berhampiran, termasuk sawah padi bagi mengelak diri dicekup.

“Bagaimanapun tindakan pantas anggota kita berjaya menahan semua Pati daripada meloloskan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Semua tahanan ditempatkan ke Depot Tahanan Imigresen Juru, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.