Taktik curi dalam kereta di R&R lumpuh
Som Sak (kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Md Nasri Fadzil menunjukkan antara peralatan yang digunakan suspek.
TAPAH – Taktik seorang lelaki memecah dan mengambil barangan berharga yang ditinggalkan pemilik kenderaan di parkir kawasan rehat dan rawat (R&R)
akhirnya terbongkar apabila ditahan polis, Rabu lalu.

Lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan secara sendirian itu sejak setahun lalu dikatakan akan meletakkan kereta hampir dengan kenderaan yang disasarkan dan menggunakan objek keras untuk memecahkan cermin sebelum melarikan barangan milik mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kegiatan lelaki berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu berjaya dijejaki berdasarkan tiga laporan yang diterima berkaitan kejadian pecah kereta di kawasan R&R Tapah membabitkan kenderaan jenis Inova, Perodua Kancil dan Harrier, 7 Mei lalu.

Menurutnya, hasil maklumat yang diterima, lelaki yang juga penganggur itu berjaya ditahan, 9 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di kawasan parkir hadapan stesen minyak di R&R Tapah arah Utara.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat ke atas kenderaan jenis BMW yang dinaiki suspek menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri.

“Antaranya penukul besi, pemutar skru dan pemotong wayar, turut ditemui telefon bimbit, beberapa anak kunci kereta, MyKad dan lesen memandu milik individu lain dipercayai mangsa,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, sehubungan itu, suspek di reman sehingga 13 Mei untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan.
“Hasil soal siasat polis, lelaki berkenaan turut mengaku terlibat dalam 10 kes sama di sekitar kawasan parkir di Lembah Klang,” katanya.

Untuk rekod Som Sak berkata, lima laporan polis berkaitan kes pecah dan curi kenderaan diterima IPD Tapah tahun ini.

Kata beliau, dengan tertangkapnya individu berkenaan, tiga kes berjaya diselesaikan, sementara dua lagi masih dalam siasatan.

“Kita percaya, sindiket seperti ini dilakukan oleh banyak kumpulan, jadi kita minta orang ramai agar lebih berwaspada sekiranya berhenti rehat di mana-mana kawasan R&R dengan tidak meninggalkan barangan berharga seperti kamera, beg dan komputer riba dalam kenderaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh berhubung terus dengan talian hotline IPD Tapah 05-4015222 atau rakan cops 32728.