Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Suspek curi kereta larikan motosikal polis

BUTTERWORTH: Seorang lelaki dipercayai anggota geng curi kereta bertindak melarikan motosikal anggota polis yang sedang memeriksa BMW di Jalan Raja Uda, di sini semalam. 

Dalam kejadian pada 11.20 malam itu, empat anggota polis dari Unit Pencegah Jenayah Balai Polis Mak Mandin menahan kenderaan yang dipandu lelaki berusia lingkungan 50-an itu selepas mendapatinya dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Zulkifli Alias, berkata ketika anggota polis terbabit memeriksa kenderaan milik lelaki itu, dia bertindak mencuri motosikal jenis Yamaha Lagenda dan melarikan diri.
"Dua anggota polis dan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan cuba mengejar lelaki itu yang memecut motosikal ke arah Butterworth, bagaimanapun gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, berdasarkan maklumat awal, pihaknya berjaya mengenal pasti identiti lelaki yang melarikan motosikal anggota polis berkenaan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. 

"Pemeriksaan juga mendapati kereta dipandu lelaki yang berasal dari Kepala Batas dekat sini itu dilaporkan hilang di Cheras, Kuala Lumpur, tiga bulan lalu. 

"Polis percaya lelaki itu melarikan diri kerana tidak mahu ditahan kerana memandu kereta curi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment