Search This Blog

Sunday, May 20, 2012

SPAD tahan 'ulat' tiket Indonesia

Kosmo! Online - Negara:


DUA penguat kuasa SPAD menahan 'ulat' tiket warga Indonesia di Pudu Sentral dalam Ops Parasit malam kelmarin.


KUALA LUMPUR - Enam orang termasuk seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai 'ulat' tiket ditahan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menerusi Ops Parasit terminal Pudu Sentral di sini malam kelmarin.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, keenam-enam mereka ditahan ketika menjual tiket kepada pegawainya yang menyamar sebagai pelanggan.
"Kesemua mereka akan diambil keterangan dan bukti, jika ada kesalahan kami akan dakwa di mahkamah," ujarnya ketika ditemui semasa mengetuai operasi berkenaan di sini kelmarin.
Menurut Che Hasni, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, SPAD telah menahan seramai 36 orang 'ulat' dan 12 daripadanya didakwa di mahkamah dan lapan daripadanya didapati bersalah.
"Jumlah yang selebihnya (28 orang) masih menunggu proses untuk dibawa ke mahkamah dan jika didapati bersalah akan didakwa di bawah Seksyen 205, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, dalam operasi yang sama, SPAD juga mengenal pasti enam kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha bas dan antara kesalahannya ialah bas beroperasi di luar kawasan yang dibenarkan, kaunter tiket tidak mempamerkan harga tambang dan pemandu tidak mempunyai kad pemandu.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment