Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Siasat di bawah Akta Hasutan


JOHOR BAHRU – Polis sedang menyiasat bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berhubung kenyataannya bahawa kejayaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuat bidaan untuk nombor berpendaftaran WWW 1 bernilai RM520,000 dengan menggunakan wang rakyat.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, siasatan mengikut Akta Hasutan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima lapan laporan berhubung perkara itu.
“Satu pasukan khas yang diketuai oleh saya sendiri telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini.
“Sehubungan itu, saya meminta mana-mana pihak agar menghormati undang-undang dan jangan membuat kenyataan sesuka hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mohammad Nizar kelmarin didakwa telah mengkritik Sultan Ibrahim ekoran kejayaan baginda membida nombor plat tersebut.
Beliau mendakwa, wang berjumlah RM520,000 yang digunakan untuk bidaan tersebut lebih baik digunakan untuk membantu rakyat Johor yang masih miskin.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Fadil Muskon melabel Mohamad Nizar sebagai biadab dan kurang ajar kerana mencemar institusi diraja Johor dengan mengeluarkan kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan keras terhadap Mohammad Nizar.

No comments:

Post a Comment