Seludup ikan dalam bagasi
Mohd Sidek (kanan) menunjukkan ikan arowana yang dirampas.
GEORGETOWN - Jabatan Perikanan negeri, mematahkan cubaan menyeludup ikan arowana dianggarkan bernilai RM182,500 ke Guangzhou, China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), semalam.

Taktik suspek lelaki warga Taiwan berusia 35 tahun mengisi ikan itu ke dalam beberapa plastik berasingan mengikut saiz, sebelum disembunyikan di dalam dua bagasi, terbongkar menerusi serbuan dua penguat kuasa Jabatan Perikanan melalui pemeriksaan di kaunter daftar masuk LTABL, kira-kira jam 7.30 pagi, awal pagi semalam.

Pengarahnya, Mohd Sidek Mh Jahaya berkata bertindak atas maklumat awam, dua pegawai penguat kuasa diketuai Ahmad Zawari Tasuki berjaya menemui haiwan berkenaan selepas memeriksa bagasi suspek yang percayai tidak melalui mesin pengimbas di LTABL.

“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai 241 ikan arowana berukuran antara 4 hingga 10 inci, dianggarkan bernilai RM500 hingga RM1,500 seekor disembunyikan di dalam beg pakaian lelaki terbabit,” katanya.

Mohd Sidek berkata ikan Arowana adalah termasuk dalam senarai Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) Apendiks II.

“Sehubungan itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Pemerdagangan Mengenai Spesies Terancam 2008 dengan sabit kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 bagi setiap haiwan tetapi tidak boleh lebih RM1 juta pada keseluruhannya atau dipenjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Mohd Sidek.