Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Saya dituduh

KUALA LUMPUR: “Saya anggap tindakan pengadu terbabit sebagai keterlaluan kerana membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa,” kata artis yang didakwa terbabit dalam kes gagal membayar gaji kepada 10 kakitangannya di Perak.
Beliau membuat kenyataan itu selepas seorang lelaki mengaitkan dirinya menipu sekumpulan pekerja untuk satu festival di Taiping, baru-baru ini.

Katanya, paling dikesali ialah dakwaan mengatakan dia penipu dan menabur pelbagai janji palsu.
“Saya sedih apabila ditohmah sebegini. Pengadu mendakwa dia profesional, tetapi tindakannya tidak menunjukkan sikap seperti itu.

“Dakwaan mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam hal terbabit sebenarnya dibuatnya tanpa usul periksa. Saya kesal kerana tindakannya memberikan impak negatif terhadap kredibiliti saya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Bagaimanapun, artis itu tidak menafikan dakwaan dia masih tidak menerima bayaran ketika berkhidmat untuk sebuah syarikat yang dilantik bagi menjayakan program terbabit.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program terbabit di bawah sebuah kementerian yang menyerahkannya kepada satu koperasi sebelum syarikat tempatnya bekerja dilantik untuk mengelolakannya.

Katanya, dia terbabit sama dalam menjayakan program itu selepas dipelawa rakan artisnya yang juga pemilik bersama syarikat terbabit.
“Saya hanya berkhidmat dengan syarikat itu untuk menjayakan festival terbabit sebagai pengarah teknikal program. Mengenai bayaran yang belum dibayar, secara jujur saya juga menerima nasib sama seperti pengadu.

“Namun saya tidak bersungut dan bertindak melulu sehingga mengaibkan orang kerana tahu syarikat masih belum menerima pembayaran daripada pihak berwajib,” katanya.

Artis itu menasihatkan pengadu berhati-hati mengeluarkan kenyataan bagi mengelak masalah bertambah rumit.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu atau mana-mana individu yang terus atau cuba membuat tohmahan terhadapnya.

No comments:

Post a Comment