Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

Rakyat Mesir dijel dua bulan curi bahan masak

PETALING JAYA 30 Mei - Seorang tukang masak warga Mesir dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri pelbagai jenis bahan masakan di sebuah pasar raya, bulan lalu.
Ahmed Mohammad, 36, didakwa melakukan perbuatan itu di Pasaraya Jusco, Sunway Pyramid, Bandar Sunway di sini pada pukul 3.40 petang, 9 April lalu.
Antara bahan masakan tersebut adalah sayur-sayuran, pelbagai jenis ikan dan daging beku serta rempah-ratus yang kesemuanya bernilai RM640.61.
Lelaki itu yang sebelum ini bekerja di sebuah hotel di sini didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Dia juga mengaku bersalah atas tuduhan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di Jalan PJS, 11/28A, Bandar Sunway di sini pada pukul 2.15 petang, 13 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya serta sebatan tidak lebih enam kali.
Hukuman sama iaitu penjara dua bulan turut dikenakan ke atasnya oleh Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid untuk kesalahan itu yang kemudiannya memerintahkan kedua-dua hukuman penjara tersebut berjalan serentak.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen manakala tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan ditemani teman wanitanya yang dipercayai warga tempatan, tidak diwakili peguam bela.

No comments:

Post a Comment