Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Potong jari sebelum bunuh,campak mangsa atas jalan

Potong jari sebelum bunuh,campak mangsa atas jalan
Mayat Meena Kumar dicampak di tepi jalan berhampiran Jalan Song Ban Kheng,
awal pagi semalam.
BUKIT MERTAJAM – Seorang penarik kereta sambilan ditemui mati di tepi jalan dengan beberapa kesan tikaman di badannya, berhampiran Jalan Song Ban Kheng, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Meena Kumar, 40an, dari Butterworth dikatakan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan berkenaan.
Difahamkan, mangsa bukan sahaja ditikam, tetapi, dua daripada jarinya turut dipotong.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar minum bersama beberapa rakan di Seberang Jaya, kira-kira jam 10 malam dan pulang ke rumah sejurus kemudian.

Bagaimanapun, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu dikatakan menerima panggilan daripada seseorang, meminta bantuan mangsa untuk menarik kereta yang rosak dekat Taman Kimsar, Perai.

Sebaik tiba di sana, mangsa didatangi sekumpulan empat lelaki yang kemudian melarikannya dengan menaiki kereta jenis Proton Waja, dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu, sebelum dibunuh dan dicampak di Jalan Song Ban Kheng,  kira-kira jam 3.30 pagi.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, polis tidak menolak kemungkinan motif dendam menjadi punca mangsa dibunuh dengan kejam.

“Siasatan dilakukan dari pelbagai aspek. Pelbagai kemungkinan boleh dikaitkan dengan kes ini.

Kita tidak menolak mungkin mangsa mempunyai masalah peribadi dengan suspek, mungkin dendam, mungkin dadah atau mungkin kerana perempuan.

“Setakat ini, masih belum ada tangkapan dibuat dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek terlibat,” katanya.

No comments:

Post a Comment