Polis kena reman, gara-gara minta suapan
Anggota polis berpangkat Koperal (kiri) dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret selepas ditahan reman selama tiga hari mulai semalam atas tuduhan meminta wang suapan.
IPOH - Seorang anggota polis berpangkat Koperal menerima padah apabila di reman selama tiga hari akibat meminta wang suapan sebanyak RM5,000 daripada isteri seorang tahanan lokap di Balai Polis Sungai Siput, di sini pada 1 Mei lalu.

Isteri tahanan itu kemudiannya bertindak membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung insiden berkenaan.

Anggota polis berusia 51 tahun itu meminta wang daripada wanita terbabit jika mahu suaminya dibebaskan dengan segera.

Suami wanita itu ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes curi dan disiasat mengikut Seksyen 411 dan 412 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, selepas wanita terbabit menyerahkan wang sejumlah RM5,000 kepada anggota polis itu pada 1 Mei lalu, suaminya masih meringkuk dalam lokap dan tidak dibebaskan sepertimana yang dijanjikan sebelum ini.

Kelicikan anggota polis itu memperdaya mangsanya juga berjaya disembunyikan daripada penyelianya walaupun sudah berulang kali beliau melakukan kegiatan berkenaan.

Akhirnya, selepas menerima aduan sepasukan pegawai SPRM bertindak menahan anggota polis terbabit pada jam 11 malam di rumahnya di Taiping, kelmarin.

Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Wong Lok Hai, semalam membenarkan anggota polis itu di reman selama tiga hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Anggota polis itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dituduh serta dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.