Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Pesakit kanser mengaku mencuri


OOI Chong Poh berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM 25 Mei - Seorang pesakit barah paru-paru dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mencuri pelbagai jenis barangan di sebuah pasar raya, Selasa lalu.
Ooi Chong Poh, 48, yang merupakan ibu kepada empat anak berusia antara 11 dan 19 tahun didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara menukar harga beberapa barangan sebelum membuat bayaran di kaunter Pasaraya Tesco Alma dekat sini kira-kira pukul 11.05 pagi, 22 Mei lalu.
Dia dituduh mencuri sebotol susu segar, 3.14 kilogram (kg) ayam mentah, 11 biji lemon, 11 gram keropok ikan mentah, dua biji keladi Thai dan 1.828 kg ubi kentang.
Barangan lain yang dicuri adalah sebiji kek keju, dua biji labu Siam, 704 gram makanan laut sejuk beku, 1.886 kg mangga chokanan, dua helai seluar pendek dan sebotol Nescafe yang kesemuanya berharga RM159.76.
Dakwaan di hadapan Majistret Chiang Kian Hong dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, J.G. Kaameni Jaya Raman mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda.
Kian Hong menjatuhkan hukuman itu mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah selepas peguam dari Jabatan Bantuan Guaman, P. Jayanthi yang mewakili Chong Poh memohon agar hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya yang menghidap barah payu dara.
Menurut Jayanthi, anak guamnya pernah melakukan pembedahan kerana penyakit tersebut pada Disember tahun lalu dan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.
Beliau juga mendakwa, ia merupakan kesalahan pertama tertuduh yang sering menjadi pelupa dan mengalami tekanan perasaan selepas disahkan menghidap penyakit tersebut.

No comments:

Post a Comment