Search This Blog

Saturday, May 5, 2012

Penunggang maut langgar pacuan 4 roda

myMetro | Penunggang maut langgar pacuan 4 roda:


NILAI: Perjalanan seorang pemuda ke Pesta Air Port Dickson dengan berkonvoi bersama beberapa rakannya bertukar tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 269.5, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah selatan, dekat sini, semalam.
Lebih memilukan apabila mangsa, Muhamad Shamil Mohd Nor, 21, yang masih bujang dikatakan turut tidak sempat bekerja di sebuah kilang besi di Shah Alam, Selangor, yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z bersendirian berkonvoi bersama beberapa rakannya ke pesta air berkenaan.
Namun, sejurus tiba di lokasi kejadian, anak sulung daripada dua beradik itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar belakang sebuah Toyota Hilux sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

Mangsa yang cedera di badan dan kepala kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital itu tidak lama kemudian. Rakan mangsa, Mohd Anas Mohd Ali, 21, berkata dia bersama beberapa rakan termasuk arwah yang berasal dari Temerloh, Pahang, sempat minum di sekitar kawasan rumah sewa mereka di sekitar Shah Alam, kira-kira jam 3.30 pagi.

“Pada waktu itu, dia (mangsa) tidak menunjukkan sebarang perubahan namun beberapa kali memberitahu mahu pulang kerana terlalu mengantuk dan mahu tidur.
“Apabila tiba di rumah sewa, saya melihat dia terus tidur sebelum bangun semula, kira-kira jam 6 pagi. Apabila ditanya, dia memaklumkan mahu ke pesta air di Port Dickson bersama beberapa rakan lain,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Bilik Mayat HTJS, semalam.

Menurutnya yang terkejut dengan kejadian itu, mangsa sebelum ini bekerja di sebuah kilang elektronik, namun berhenti dan bakal bekerja di tempat baru iaitu kilang besi. “Bagaimanapun, hasratnya itu ternyata tidak kesampaian dan sedih dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang yang peramah, mesra dan kuat bekerja,” katanya.
Difahamkan, Muhamad Shamil turut sempat minum di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sekitar lokasi kejadian sebelum kembali meneruskan perjalanan dan terbabit dalam kemalangan itu.

Jenazah Allahyarham yang dituntut ahli keluarganya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kampung Awah, Temerloh, Pahang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan yang masih disiasat pihaknya.

No comments:

Post a Comment