Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Penjenayah siber Amerika paling aktif

Telefon pintar, tablet, perisian Android dan sistem Macintosh sasaran utama penggodam

SAN FRANCISCO: Penjenayah siber sudah memiliki senjata baru yang berkelajuan tinggi untuk tujuan menggodam dan memusnahkan sistem perisian komputer dengan menyasarkan telefon pintar, tablet dan komputer Macintosh, kebanyakannya dilancarkan dari Amerika Syarikat.
Satu ‘laporan ancaman’ yang didedahkan lewat Isnin oleh firma keselamatan komputer McAfee menunjukkan sejumlah kod perosak atau malware menyasarkan mesin Windows dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
"Dalam tiga bulan pertama 2012, kita mengesan lapan juta malware baru, menunjukkan pencipta malware meneruskan pembangunan berterusan"

Vincent Weafer
Timbalan Presiden Kanan, McAfee Labs
Malah, usaha merosakkan sistem Windows dalam tempoh berkenaan mencatat cubaan paling tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Selain itu, serangan malware turut meningkat dari segi menyerang peralatan telefon bimbit menggunakan perisian Android disokong Google dan komputer Macintosh yang beroperasi berdasarkan sistem operasi Apple, menurut laporan itu. 

“Dalam tiga bulan pertama 2012, kita mengesan kira-kira lapan juta malware baru menunjukkan pencipta malware meneruskan pembangunan berterusan,” kata Timbalan Presiden Kanan, McAfee Labs, Vincent Weafer.

“Kemahiran dan teknik serangan sama digunakan ke atas sistem komputer peribadi atau PC semakin meningkat dan diperluaskan kepada telefon bimbit dan Macintosh,” katanya. 
Sejak sekian lama penjenayah siber menumpukan perhatian untuk memasuki PC yang digerakkan sistem Windows kerana ramai orang yang menggunakannya. 

Tetapi, ketika peralatan Apple dan Android semakin digemari di seluruh dunia, mereka kini menjadi sasaran baru.

“Ketika lebih banyak kediaman dan perniagaan menggunakan kemudahan itu, serangan akan terus meluas,” kata Weafer. 

Selain itu, ketika malware yang merosakkan sistem Macintosh berterusan bertambah, ia masih kecil dibandingkan apa yang menyerang PC, menurut McAfee.

Jumlah ‘spam’ atau mesej tidak diundang pada tempoh sama pula menurun sedikit kepada satu trilion sebulan dengan penurunan ketara berlaku di Brazil, Russia, dan Indonesia dan meningkat di China, Britain, Jerman, Poland dan Sepanyol. 

Bilangan rangkaian komputer yang dijangkiti virus dirujuk sebagai ‘botnet’, meningkat hampir lima juta dengan Colombia, Jepun, Poland, Sepanyol dan Amerika Syarikat dilihat mengalami peningkatan paling tinggi. 

Penggodam menggunakan helah seperti perangkap e-mel atau pautan secara rahsia untuk menjangkiti mesin dengan malware yang membolehkan mereka mencuri bukan hanya data atau mengesan kekunci setiap kali ditekan tetapi menggunakan mesin yang sudah dijangkiti untuk melancarkan serangan baru. 

Amerika adalah sumber utama pelancaran botnet dan serangan siber dalam tempoh suku pertama tahun ini, lapor McAfee. 

Lebih mengejutkan, penjenayah siber menjual perisian peralatan malware dan menyewa botnet, menurut pakar keselamatan internet dan penguat kuasa undang-undang. – AFP

No comments:

Post a Comment