Search This Blog

Wednesday, May 9, 2012

Pengsan dihempas tentera AS

Berita Harian Online | Pengsan dihempas tentera AS:


Ibu tunggal Iraq cerita seksaan ketika ditahan di Penjara Abu Ghraib 

JAMEELAH memberi keterangan ketika Perbicaraan Pertuduhan Jenayah Perang Terhadap  Bush dan sekutunya di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.
JAMEELAH memberi keterangan ketika Perbicaraan
 Pertuduhan Jenayah Perang Terhadap Bush dan
 sekutunya di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dari Kirkuk, Iraq diseksa tanpa perikemanusiaan ketika ditahan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Penjara Abu Ghraib pada 2004.
Jameelah Abbas Hameedi, 57, memberitahu Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur semalam, beliau dihempas dinding ke dinding sehingga pengsan, dipaksa menanggalkan pakaian, dipukul sehingga berdarah dan dikurung dalam lokap tahanan sempit.
Saksi ketiga pendakwaan pada tribunal perbicaraan jenayah penderaan dan perang terhadap bekas Presiden AS, George W Bush dan sekutunya berkata, seksaan itu dilaluinya ketika ditahan di pangkalan tentera AS Kirkuk, Baghdad dan Penjara Abu Ghraib. 

Episod ngeri itu bermula pada 13 Januari 2004 apabila rumahnya diserbu tentera AS yang mendakwa beliau memberi bantuan kewangan kepada puak penentang. 

“Tentera AS tuduh kami beri bantuan kewangan kepada penentang dan mereka mahukan wang itu. Mereka menggeledah seluruh rumah dan tidak menjumpai apa-apa, kecuali 150 dinar iaitu wang untuk belanja harian kami,” katanya. 

Bekas Ketua Kesatuan Koperasi Kirkuk ketika era pemerintahan Presiden Saddam Hussein itu memberi keterangan dari kandang saksi menerusi seorang penterjemah dan tampil berpakaian serba hitam di depan lima hakim tribunal diketuai bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd Yunus. 
Saksi itu memberitahu Tribunal pada malam serbuan itu, beliau dan empat lain, termasuk anak perempuannya, dibawa ke pangkalan udara di Kirkuk untuk disoal siasat. 

Katanya, ketika ditahan di situ, beliau tidak diberi makan dan minum serta tidak dibenarkan ke tandas, selain terus disoal siasat mengenai pembabitannya dengan puak penentang, termasuk hubungannya dengan Parti Baath (parti pemerintah di Iraq sebelum Saddam digulingkan pada 2003). 

Jameelah berkata, dari Kirkuk beliau dipindahkan ke Lapangan Terbang Baghdad, di mana beliau didera secara fizikal dan mental berulang kali, termasuk dihempas dinding ke dinding sehingga pengsan, diseret kepala, dibelasah dan dipaksa merangkak selepas pakaiannya ditanggalkan dan dicurahkan ais sejuk oleh seorang tentera AS wanita berkulit hitam dalam sebuah bilik gelap. 

“Pada malam hari, saya dengar bunyi muzik dan jeritan. Kemudian mereka buka lokap saya dan biarkan anjing yang besar menyalak di depan saya dan membuatkan saya teramat takut. Mereka buat demikian untuk beberapa ketika sebelum menutup lokap dan meninggalkan saya, ” katanya. 

Jameelah berkata, selepas 20 hari di Kirkuk dan Baghdad, beliau dipindahkan ke Abu Ghraib menggunakan pikap di mana beliau ditempatkan dalam sebuah lokap sempit berukuran dua meter lebar dan panjang selama enam bulan. 

Pada perbicaraan itu, akuan bersumpah bekas tahanan Abu Ghraib, Ali Sh Abbas dan bekas tahanan Teluk Guantanamo, Rhuhel Ahmed digunakan sebagai bukti tambahan bagi kes itu. 

Perbicaraan ke atas Bush bersama bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor undang-undang, John Yoo bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment