Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Penganggur bunuh dua beranak dihukum gantung


KOTA BHARU 24 Mei - Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah menetak sehingga mati seorang wanita warga Thailand dan anaknya berusia setahun, kira-kira tiga tahun lalu.
Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mazdi Muhammad, 34, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
Bekas penagih dadah yang berpakaian serba putih itu kelihatan tenang dan hanya menundukkan kepala ketika hukuman dibacakan.
Mazdi didakwa atas dua tuduhan iaitu membunuh suri rumah, Maena Ya, 36, dan anak wanita itu, Nurasyiken di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sireh Bawah Lembah di sini kira-kira pukul 2.30 pagi, 30 September 2009.
Dakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Mohamed.
Pada 1 Oktober 2009, akhbar melaporkan Maena dan Nurasyiken ditemui mati dipercayai ditetak dengan senjata tajam di rumah mereka di Kampung Sireh Bawah Lembah.
Nurasyiken maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan setelah ditetak berulang kali manakala Maena pula meninggal dunia kira-kira pukul 6.45 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Semasa kejadian, dua beranak yang berasal dari Narathiwat itu tinggal berdua di rumah, manakala suami wanita itu dipercayai berada di Terengganu kerana bekerja.

No comments:

Post a Comment