Search This Blog

Sunday, May 27, 2012

Peminjam disaman bayar balik RM178 juta


KUALA KRAU 24 Mei - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip bayaran balik RM178.90 juta daripada 25,138 peminjam yang disaman atau disenarai hitam sehingga 31 Mac lalu.
Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, bayaran itu diperoleh hasil daripada pendekatan mesra dan ketegasan perbadanan itu memujuk peminjam supaya membayar pinjaman mereka.
Menurutnya, PTPTN sentiasa membuka ruang perundingan dengan peminjam untuk mempertimbangkan rayuan bagi membayar balik pinjaman mengikut kemampuan.
"Pendekatan situasi 'menang-menang' dilakukan itu membolehkan peminjam yang disaman atau disenarai hitam tampil membuat bayaran balik pinjaman.
"Kita tidak berhasrat menyusahkan mana-mana pihak, tetapi hakikatnya mereka perlu lebih bertanggungjawab melunaskan pembiayaan pendidikan masing-masing," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, pihaknya menghargai keprihatinan peminjam bagi membolehkan generasi akan datang dapat menggunakan dana tersebut.
Jelasnya, sehingga 31 Mac lalu, jumlah peminjam yang perlu memulakan bayaran balik ialah 1,052,693 orang.
"Daripada jumlah tersebut, seramai 759,526 peminjam telah melaksanakan pembayaran balik melibatkan amaun RM3.18 bilion,' katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan memburukkan PTPTN sedangkan institusi itu terbukti banyak berjasa kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

No comments:

Post a Comment